Aug 27, 2009

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami; dalang kejatuhan Abbasiyyah. (Bahagian 2)

Bersambung dari Bahagian 1...

.......................................................................................

Di waktu ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami selaku menteri kepercayaan Khalifah Al-Musta’shim Billah, mengeluarkan helahnya sekali lagi. Beliau menyarankan kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah agar tidak membenarkan rakyatnya keluar berjihad. Beliau turut menawarkan dirinya untuk berunding dengan tentera Monggol kononnya agar mereka dapat menerima perdamaian. Khalifah Al-Musta’shim Billah sekali lagi berjaya dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Maka Umayiduddin Muhammad Al-Aqami pun dengan gembiranya keluar bertemu dengan Hulagu Khan.

Setelah pulang ke istana, beliau telah memaklumkan kepada Khalifah dengan bahawa Hulagu Khan setuju berdamai dan mahu agar Khalifah Al-Musta’shim Billah mengahwinkan puteranya Abu Bakar dengan puteri Hulagu Khan. Alangkah gembiranya Khalifah Al-Musta’shim Billah mendengarkan berita itu. Tambahan pula Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menunjukkan cincin yang diberikan Hulagu Khan sebagai tanda perdamaian.

Lalu baginda pun menyuruh rakyat dan pekerja-pekerja istana bergotong-royong menghias kota Baghdad demi menyambut Hulagu Khan dan rombongannya. Di sebalik semua ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya telah merancang sesuatu bersama Hulagu Khan. Dalam rancangan tersebut, Hulagu Khan mahu Umayiduddin Muhammad Al-Aqami memastikan bahawa rakyat Baghdad menyambut kedatangan tentera Monggol bukan dengan senjata, tetapi dengan bunga-bunga. Dia mahu menakluk kota Baghdad dengan mudah. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami bersetuju dan menerima rancangan tersebut. Sambil melihat rakyat Baghdad sibuk menghias kota, beliau tersenyum sinis. Namun tiada sesiapapun yang dapat menafsirkan apa yang tersembunyi di sebalik senyuman itu.

Pada hari Rabu, 18 Januari 1258, tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan menyerang kota Baghdad. Tentera Monggol datang dengan menunggang kuda mereka dengan laju seperti ombak besar yang datang mengganas. Mereka merempuh rakyat Baghdad yang sedang beratur di tepi jalan-jalan dan lorong-lorong di Baghdad dan membunuh mereka. Khalifah Al-Musta’shim Billah mula menyedari bahawa beliau telah ditipu oleh menterinya sendiri. Abu Bakar bersama seorang adiknya dan tiga orang pemuda lain yang merupakan putera kepada Syeikh Muhyiddin (ulama yang mengajar anak-anak khalifah) , berjihad bermati-matian menentang orang Monggol itu. Ramai orang Monggol yang gugur dipanah dan dipancung oleh mereka. Namun akhirnya mereka dibunuh oleh tentera Monggol tersebut selepas diugut meletakkan senjata. Orang Monggol turut membunuh isteri khalifah dan Syeikh Muhyiddin. Mereka turut membunuh semua pemuda lelaki, kaum ibu, orang tua dan kanak-kanak, dan menangkap anak-anak gadis, termasuk puteri-puteri Khalifah Al-Musta’shim Billah, untuk dihantar sebagai tawanan ke Monggol. Sementara anak kecil Khalifah Al-Musta’shim Billah dipelihara untuk dijadikan salah seorang tentera Monggol suatu hari nanti.


Hulagu Khan berjaya menjatuhkan Baghdad pada 1258. (Gambar hiasan)

Pemandangan di sekitar kota Baghdad amat mengerikan dan menyayat hati. Kota tersebut dipenuhi dengan mayat-mayat bergelimpangan dan dicemari darah. Kaum lelaki, orang-orang tua dan bayi kesemuanya dibunuh. Kaum wanita diperkosa. Kitab-kitab ilmuwan Islam dibakar dan dicampakkan abunya ke dalam Sungai Tigris (Arab-Dajlah), sehingga air sungai tersebut bertukar hitam. Ada kitab yang disusun untuk dijadikan jambatan menyeberangi sungai tersebut, dan ada pula yang dijual kepada pedagang-pedagang Kristian Eropah, yang turut bersubahat dengan orang Monggol. Orang Eropah bertanggungjawab menghasut orang Monggol supaya membenci orang Islam. Oleh itu, penduduk Baghdad yang beragama Kristian dibiarkan hidup. Kebanyakan orang Islam yang masih selamat sedang bersembunyi di dalam bumbung rumah dan kawasan-kawasan tersembunyi yang lain.

Disebabkan adat orang Monggol yang melarang mereka menumpahkan darah raja, maka Khalifah Al-Musta’shim Billah dibunuh dengan cara dipijak dalam gulungan tikar oleh tentera Monggol. Berakhirlah sebuah kerajaan Islam yang telah bertahan selama lebih dari 500 tahun.

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami keluar daripada tempat persembunyiannya. Beliau bertemu Hulagu Khan untuk menuntut janjinya kerana Hulagu Khan telah berjanji untuk melantik beliau sebagai khalifah setelah Khalifah Al-Musta’shim Billah digulingkan. Namun Hulagu Khan enggan menunaikan janjinya dan beliau bercadang untuk tidak membunuh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Pulanglah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami ke rumahnya dengan hampa. Setibanya di rumah, beliau terkejut kerana mendapati keluarganya dibunuh. Tidak syak lagi, keluarga beliau telah dibunuh oleh rakyat Baghdad yang menaruh dendam terhadapnya kerana mengkhianati khalifah. Namun beliau masih terselamat kerana dikawal oleh orang-orang Monggol yang diperintahkan oleh Hulagu Khan. Maka hiduplah beliau seorang diri tanpa keluarga dan pangkat kebesaran, dan terus menerus dibenci oleh rakyatnya sendiri. Itulah akibat dari perbuatan khianat beliau terhadap negaranya sendiri dan kerana terlalu menurut nafsu dendam terhadap khalifahnya.

Sumber: Abdul Latip Talib; Hulagu Khan: Khabar Hitam Dari Timur (Novel Sejarah Islam); PTS Litera; 15 Julai 2009

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.” (Al-Mumtahinah: 1)

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (At-Taubah: 73)

Pengajaran daripada kisah ini:

a) Bersikap berkecuali dan adil dalam kepimpinan dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Salah satu punca kejatuhan Khalifah Al-Musta’shim Billah ialah kerana beliau mudah dipengaruhi orang bawahannya.

b) Menyelidik betul salah tindakan orang bawahan dan tidak membuat keputusan melulu dan bersikap terburu-buru yang akan menimbulkan dendam di kalangan mereka. Sikap Khalifah Al-Musta’shim Billah yang percaya Rukunuddin Ad-Daudar menjalankan tugas mematahkan pemberontakan dengan baik tanpa menyiasatnya terlebih dahulu, menimbulkan kemarahan Umayiduddin Al-Aqami yang memegang bukti bahawa tentera Rukunuddin Ad-Daudar telah memperkosa penduduk Kirkuk. Umayiduddin Al-Aqami akhirnya menyimpan dendam terhadap khalifah.

c) Tidak mempercayai musuh-musuh Islam dan tidak bekerjasama langsung dengan mereka. Perbuatan Umayiduddin mempercayai janji-janji manis Hulagu Khan akhirnya memakan diri sendiri. Akhirnya, Hulagu Khan tidak menunaikan janji tersebut dan Umayiduddin Al-Aqami berada dalam kerugian yang nyata.

d) Semangat jihad dan tidak berputus asa meskipun musuh lebih kuat, atau meskipun negara seperti telur berada di hujung tanduk. Semangat ini ditunjukkan oleh anak-anak Syeikh Muhyiddin dan putera khalifah Abu Bakar ketika orang Monggol menceroboh istana khalifah.

e) Percaya kepada kebolehan diri dan tidak hanya percaya kepada khabar angin sahaja. Rukunuddin Ad-Daudar langsung tidak gentar meskipun tersebar kata-kata yang memberitahu bahawa orang Monggol tidak pernah dikalahkan.

f) Membuat perancangan terbaik dan realistik sebelum melakukan sesuatu. Rukunuddin Ad-Daudar tidak merancang taktiknya dengan baik. Ini kerana selepas mereka melarikan diri ke Mesir, tidak ada langsung tentera pelapis yang mempertahankan Baghdad. Akibatnya, Baghdad diserang dengan mudah oleh tentera Monggol. Beliau sepatutnya membahagikan tenteranya kepada dua; satu untuk memerangi orang Monggol dan satu lagi untuk mempertahankan Baghdad.

......................................................................................

Semoga mendapat ilmu berguna dari rencana ini.

Wassalam.

1 comment:

  1. Most simply do not get completed. French doors that required the mayor to notify state officials 60 days.
    An independent contractor are a lot of times, school bus but that it is not going to work for
    Corrion. Then why would Lockheed Martin in 2008 totaling
    $750K. For a defense contractor DynCorp, arrived at John F.
    Last week's piece described the use of insulating the windows
    that are deal with the contractor on a contractor who will
    take the word.

    Also visit my site ... web page ()

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...