Nov 30, 2009

Skala dan kesan akibat daripada perubahannya.

Perhatikan gambar di bawah:



Gambar di atas menunjukkan sebuah galaksi yang penuh dengan bintang-bintang. Jika dilihat dari pandangan sebegini, kita beranggapan bahawa semua planet akan mendapat haba yang cukup dan bersuhu panas. Ini kerana, dari pandangan ini, kita menyangkakan dengan berjuta bahkan berbilion bintang yang ada dalam galaksi tersebut, tidak ada planet yang ‘kesejukan’ atau ‘planet ais’ kerana di mana-mana sahaja ada bintang yang membekalkan haba. Pernyataan ini seolah-olah benar. Namun jika kita memandang dari sudut sebuah planet seperti Bumi yang hanya sebesar kuman dalam galaksi tersebut, didapati pernyataan tersebut tidak semestinya benar. Bahkan di Bumi sendiri, ada kawasan yang sejuk sehingga 45 darjah Celsius di bawah paras beku (Rusia). Tambahan, wujud berjuta-juta planet ais. Dalam sistem suria kita sendiri yang merupakan salah satu sistem mengelilingi Matahari (sebuah bintang) dari berjuta bintang, terdapat beberapa planet ais seperti Pluto dan Neptun. Oleh itu pernyataan awal tadi adalah bercanggah apabila pandangan dari skala yang lebih khusus atau kecil digunakan.

Mengapa bercanggah dan bagaimana ia berlaku? Ini kerana jarak antara bintang ke bintang atau antara dua buah bintang pun sudah bertahun-tahun cahaya. Maka haba dari sebuah bintang akan tercapah selama melalui jarak yang sangat jauh ini untuk sampai ke sebuah sasaran planet atau jasad samawi.

Oleh yang demikian, untuk skala besar, kita dapat menyimpulkan bahawa haba terbebas secara cukup dari semua bintang untuk memanaskan seluruh galaksi. Namun untuk skala kecil, haba tidak semestinya sampai ke planet-planet tertentu. Jadi pernyataan ‘semua planet panas’ tidak semestinya benar apabila kita bergerak ke skala yang lebih khusus.

Satu lagi contoh ialah ketika mencampurkan kordial dengan air sejuk. Kita sangat yakin bahawa kordial tersebut telah bercampur sebati dengan air sejuk, pada skala pukal atau skala besar. Namun pernyataan ini tidak semestinya benar apabila kita pergi ke skala yang lebih kecil atau skala molekul. Pada skala molekul, kordial tidak bergabung dengan molekul air. Jadi kordial hanya bercampur secara fizik sahaja dengan air dan tidak pada skala kecil.

Dalam bidang kejuruteraan kimia, jurutera merekabentuk menara penyulingan untuk menyuling bendalir hasil tindak balas. Dalam rekabentuk menara penyulingan, dulang digunakan bagi memaksimumkan hasil sulingan yang dikehendaki. Untuk mendapatkan hasil sulingan, maka ‘equilibrium condition’ perlu dicapai oleh bendalir dalam menara penyulingan. Apakah tujuan dulang-dulang ini dipasang? Dulang-dulang ini adalah bagi membolehkan ‘equilibrium condition’ dilakukan pada skala bendalir yang lebih kecil. Jika dulang-dulang ini tidak dipasang, maka ‘equilibrium’ hanya berlaku secara pukal dalam seluruh bahagian menara, menyebabkan hanya sedikit sahaja hasil yang dimahukan berjaya diekstrak. Dengan mengkhususkan bendalir dalam menara penyulingan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan banyak, maka ‘equilibrium condition’ dapat dicapai pada skala yang paling minimum dan banyak, seterusnya memaksimumkan hasil. Di sini terdapat satu maklumat yang amat penting kepada jurutera dan saintis iaitu:
“Untuk memaksimumkan manfaat dari sesuatu perkara, usaha perlu dilakukan ke atas bahagiannya yang paling kecil dan khusus”
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh para saintis bertujuan memanfaatkan skala kecil sesuatu teknologi. Contoh paling terkini ialah NANOTEKNOLOGI. Namun usaha sebegini sebenarnya telah lama dilakukan oleh saintis seperti Kolmogoroff, seorang saintis Russia yang mengkaji pencampuran bendalir pada peringkat molekul.

Jika seseorang ahli cendekiawan mengeluarkan pernyataan atau ‘quotation’, sebelum beliau mengeluarkannya, beliau perlu mengambil kira kesahihan pernyataan tersebut pada skala kecil atau khusus. Ini kerana semua ‘quotation’ mesti bersifat umum. Jika terdapat salah satu kes khusus yang menyahsahihkannya, maka secara automatiknya ‘quotation’ itu diiktiraf tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah dalam perbahasan. Corak pemikiran sebegini dinamakan sebagai pemikiran deduksi dalam penaakulan mantik. Oleh itu seseorang yang mahu mengeluarkan kata-kata hikmah atau falsafah mestilah seseorang yang benar-benar berilmu dan memiliki pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburinya. Jika pernyataan yang dikeluarkan bercanggah dengan kes-kes khusus, beliau boleh dituduh menyesatkan pemikiran orang ramai.

Politik yang mantap ialah politik tanpa rasuah. Bagi memaksimumkan integriti atau ketelusan dan meningkatkan keberkesanan kepimpinan, maka rasuah perlu dibanteras hingga ke akar umbi atau SKALA KECIL dan bukannya hanya melibatkan skala besar atau GOLONGAN ORANG BESAR-BESAR sahaja.

Pendek kata, aplikasi perubahan skala ini wujud dalam pelbagai bidang. Saya petik semula kesimpulan saintis yang telah dinyatakan dalam perenggan sebelum ini
“Untuk memaksimumkan manfaat dari sesuatu perkara, usaha perlu dilakukan ke atas bahagiannya yang paling kecil dan khusus”. Kesimpulan ini memberitahu bahawa kajian mendalam perlu dalam meningkatkan kualiti. Inilah yang menyebabkan saintis Barat kerapkali muncul dengan keputusan kajian yang pelik-pelik kerana tujuan mereka ialah untuk meningkatkan kualiti hidup melalui kajian mendalam. Namun kita harus kritikal dalam menerima hasil kajian mereka kerana kadangkala dalam kalangan mereka terdapat satu golongan yang disebut sebagai 'doom merchant'.

Wallahualam.

Nov 28, 2009

Meneliti kejadian bintang.(2)



Kelahiran dan kematian bintang
Bintang bermula di suatu kawasan yang penuh dengan awan, debu, gas dan plasma yang dikenali sebagai nebula. Kemudian kesemua bahan-bahan ini bergabung dalam proses yang telah dijelaskan secara panjang lebar dalam rencana sebelum ini. Setelah proses pembentukan dilakukan oleh-Nya, maka bintang yang baru yang dikenali dengan nama bintang bayi atau bintang muda (English-protostar) akan lahir. Bintang bayi lahir sebaik sahaja tindak balas nuklear bermula dalam teras bebola gas yang terbentuk. Bintang bayi berwarna putih dan bermagnitud mutlak 1. Suhu permukaannya ialah separuh daripada suhu permukaan matahari dan saiznya lebih kecil berbanding matahari. Ketika ini usianya ialah kira-kira 20 juta tahun.

Kira-kira umurnya mencecah 1.05 bilion tahun, bintang bayi akan berkembang kepada dua kemungkinan ciri fizikal, iaitu sama ada menjadi bintang sederhana seperti Matahari atau bintang raksasa.

Bagi bintang sederhana, ia akan bernyala dan terus bernyala untuk suatu jangka masa. Apabila ajalnya hampir tiba iaitu kira-kira 11.05 bilion tahun, bintang sederhana akan mengembang dan bertukar warna menjadi bintang raksasa yang berwarna merah dan dikenali sebagai ‘Gergasi Merah’. Jika terdapat planet-planet yang mengelilinginya, maka planet-planet ini akan disedut memasuki medan graviti bintang. Mungkin inilah nasib yang bakal dialami Bumi apabila Matahari hampir kepada ajalnya.

Kemudian, bintang raksasa ini akan meletup. Letupan ini dikenali sebagai Letupan Nebula. Dari letupan ini, tersisa teras bintang raksasa tadi yang dikenali sebagai kerdil putih iaitu bintang berwarna putih yang kecil. Dan kerdil putih ini akan terus bernyala dan menjadi sisa sejarah bintang tersebut buat selama-lamanya.

Jika bintang bayi berkembang kepada bintang gergasi, maka ia akan terus bernyala untuk berjuta-juta tahun sehingga apabila hampir kepada ajalnya, akan membentuk bintang gergasi lampau besar (bintang ini lebih besar dari Gergasi Merah), dikenali dengan nama Supergergasi Merah. Kemudian ia meletup dan letupan ini dikenali dengan nama Letupan Supernova. Selepas letupan ini berlaku, terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi iaitu, sama ada akan tersisa daripadanya lohong hitam yang mampu menyedut apa sahaja termasuk alur cahaya, atau bintang neutron.

Berikut ialah laman interaktif untuk pemahaman tentang kejadian bintang:
http://lcogt.net/files/flash/hr-diagram/main.html

Bahagian seterusnya akan membincangkan bagaimana bintang-bintang dikelaskan.

Nov 25, 2009

Penggenapan nilai terdekat. (MATEMATIK)

Amaran: AWAS! Rencana ini untuk mereka yang minat dengan matematik sahaja.

Ini ialah rencana pertama saya berkenaan matematik. Saya sememangnya sudah lama ingin menulis tentang matematik, namun oleh sebab kesukaran menulis rumus matematik pada ruang tulis laman Blogger maka hasrat saya terbantut. Tambahan pula, saya tidak berminat untuk belajar kod-kod Blogger yang pelik-pelik. Sedangkan kod untuk palet warna pun saya masih merangkak untuk memahami, inikan pula kod untuk rumus matematik.

Dalam tulisan kali ini saya ingin membincangkan tentang satu kaedah manipulasi matematik dalam kehidupan yang saya namakan sebagai ‘penggenapan nilai terdekat’. Kaedah ini ditemui kerana setiap kali saya ke kedai, masalah yang sama timbul iaitu kesukaran MENGIRA TANPA KALKULATOR, lebih-lebih lagi ketika saya tidak memiliki wang kecil dan terpaksa membayar wang besar untuk harga barang yang kecil. Setiap kali saya membeli barang, saya kerap mencongak sendiri berapa baki yang akan diperoleh bagi mengelakkan kesilapan pekedai (ini kerapkali berlaku). Dan kaedah ini ditemui secara tidak sengaja ketika pencongakan dilakukan. Meskipun ada di antara pembaca menganggap bahawa kaedah ini ialah ‘common sense’ atau perkara biasa yang remeh yang mungkin pembaca sendiri sudah tahu menggunakannya, tapi saya tetap mahu menulisnya di sini dengan hasrat ingin mengembangkannya ke dalam pelbagai skop pengiraan lain.

Sebagai permulaan, saya beri satu contoh:
Sebotol minyak di sebuah kedai berharga RM1.93. Anda membelinya dan membayar dengan wang RM50.00. Berapakah baki anda?

Kaedah 1: Anda mencongak dengan menolak secara langsung RM1.93 dari RM50.00. Maka nilai baki ialah 50-1.93= RM48.07

Kaedah 2: Anda MENGGENAPKAN RM1.93 kepada nilai terdekat, iaitu RM2.00. Kemudian anda menolak RM 2 daripada RM 50. Nilai baki sementara sekarang ialah RM 48. Kemudian anda menambah beza antara nilai terdekat dengan harga barang, iaitu RM2-RM1.93=RM0.07 kepada nilai baki sementara RM48.00 tadi. Maka baki sebenar anda ialah RM48.07.

Mana satukah kaedah yang lebih mudah? Sudah pasti kaedah 2. Meskipun kaedah 2 nampak panjang dan membosankan ketika dipandang dalam bentuk tulisan, tetapi hakikatnya, kaedah 2 jauh lebih mudah dan senang jika dilihat dari sudut praktikal atau realitinya. Kaedah 2 inilah yang saya maksudkan sebagai kaedah penggenapan nilai terdekat.

Sebagai latihan, saya beri anda satu contoh lain;
1) Soalan: Satu sarang telur berharga RM0.99. Anda membeli dua sarang telur dan membayar dengan wang sebanyak RM100. Berapakah baki anda sekarang?
Jawapan: Genapkan harga satu sarang telur kepada nilai terdekat, iaitu RM1.00. Kemudian darab dengan 2 (kerana anda sedang membeli dua sarang telur). Maka harga sementara untuk dua sarang telur ialah RM2. Tolakkan RM2 daripada RM100 dan baki sementara anda ialah RM98. Kemudian, tambahkan beza antara nilai terdekat dengan harga sebenar, iaitu RM0.01, kepada baki sementara iaitu RM98. Disebabkan anda membeli dua sarang telur, maka tambahkan RM0.01x2 = RM0.02 kepada RM98.(mengapa perlu tambah? Kerana nilai terdekat, RM1 lebih daripada harga sebenar, RM0.99) Hasilnya, baki yang anda patut terima ialah RM98.02.

2) Soalan: Satu botol kicap berharga RM1.16. Anda membelinya dan membayar dengan wang sebanyak RM26.00. Berapakah nilai baki yang patut anda terima sekarang?
Jawapan: Oleh kerana nilai sen,16, amat jauh untuk membolehkan penggenapan RM1.16 kepada RM2 dilakukan, maka kita menggenapkannya kepada sen terdekat sahaja. Maka nilai harga sementara ialah RM1.20. Seterusnya, penolakkan secara ansuran dilakukan. Mula-mula kita tolak dahulu RM1 daripada RM26, kemudian baru menolak RM0.20. Hasilnya baki sementara ialah RM24.80. Kemudian barulah baki antara nilai terdekat dengan harga sebenar iaitu RM0.04 ditambah kepada baki sementara. Hasilnya, baki sebenar anda ialah RM24.84.
(Nota: Sebenarnya anda boleh sahaja menolak secara ansuran RM1.16 terus daripada RM26. Pada saya, menggenapkannya dahulu kepada RM1.20 adalah lebih mudah. )

Dua contoh di atas menjelaskan bahawa penggenapan mesti dibuat kepada suatu nilai yang LEBIH TINGGI DARIPADA HARGA SEBENAR dan jika nilai sen terlalu jauh untuk digenapkan kepada ringgit, maka penggenapan perlu dibuat kepada sen terdekat dan diikuti penolakan beransur-ansur. Ini kerana jika anda menggenapkan kepada nilai yang lebih rendah daripada harga sebenar, ia tidak ubah seperti anda menolak secara langsung harga barang tersebut daripada wang yang anda bayar, atau tidak ubah seperti anda tidak mengikuti kaedah ini. Namun secara umumnya, kaedah ini sebenarnya hanya sesuai dilakukan pada harga barangan yang mana nilai sennya amat hampir kepada ringgit terdekat yang lebih besar daripadanya, misalnya 99 sen yang amat dekat dengan RM1.

Kaedah ini saya fikir amat sesuai digunakan di sesetengah pasaraya seperti Giant, Sainsbury’s dan ALDI yang begitu banyak sekali meletakkan harga-harga yang nilai sennya ialah 99 sen. Ini menyukarkan pengiraan kerana congakan pinjam nilai terpaksa dilakukan dalam kepala.

Penggenapan nilai terdekat bukan sahaja membantu kita mengira pulangan baki , bahkan juga membantu kita mengira berapakah jumlah harga barangan yang sedang kita kumpul di dalam troli ketika sedang membeli-belah. Ia semudah ‘ambil dan terus kira’. Maksudnya, setelah ambil satu barang, kita terus sahaja kira jumlah keseluruhan barangan yang sedang kita kumpul dalam troli sebelum melakukan pembayaran di kaunter dengan hanya menggunakan otak tanpa bantuan mesin kira. Dengan mengetahui jumlah harga, maka kita dapat merancang kewangan dengan baik dan tidaklah pula gelabah terutama di Malaysia yang mana pembeli tidak boleh menggunakan kad debit untuk melakukan pembayaran bilamana tiada wang tunai di dalam dompet.

Bagaimana mengira jumlah harga barangan menggunakan kaedah penggenapan nilai terdekat? Saya hanya bagi satu contoh sahaja kerana saya sudah mengantuk sekarang. Contoh-contoh lain anda bolehlah fikirkan sendiri.

Contoh: Anda membeli sebotol sos berharga RM1.95, seguni beras berharga RM14.97, dan sebotol kordial berharga RM5.91. Berapakah jumlah yang perlu anda bayar?
Jawapan: Senaraikan semua nilai-nilai terdekat dan bezanya dengan harga sebenar.
Sos: Terdekat=RM2, Beza=RM0.05
Beras: Terdekat=RM15, Beza=RM0.03
Kordial: Terdekat=RM6, Beza=RM0.09
Jumlah baki sementara=2+15+6=RM23
Jumlah beza=RM0.17
Jumlah harga yang perlu dibayar=23-0.17=RM22.83

Bagaimana dengan kes ini?
Contoh: Anda membeli sebotol sos berharga RM1.15, seguni beras berharga RM14.27, dan sebotol kordial berharga RM5.31. Berapakah jumlah yang perlu anda bayar?
Jawapan: Oleh kerana nilai sen setiap barang terlalu jauh untuk digenapkan kepada ringgit terdekat, maka anda boleh menggunakan penambahan secara ansuran. Ini kerana kaedah ini tidak sesuai untuk nilai sen yang terlalu jauh dari ringgit terdekat.
Bagaimana menambah secara ansuran?
Ia seperti penambahan biasa tanpa menggunakan kaedah ini, cuma anda perlu memisahkan ringgit dan sen terlebih dahulu.
1) Tambahkan semua nilai ringgit= 1+14+5=RM20
2) Tambahkan semua nilai puluh sen=10+20+30=RM0.60
3) Tambahkan semua nilai sen=5+7+1=RM0.13
4) Jumlahkan semua=20+0.6+0.13=RM20.73
Jumlah harga barang anda ialah RM20.73
(Nota: jika anda kerap berlatih menggunakan penambahan ansuran, Insya-Allah pengiraan anda akan menjadi lebih pantas)

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, kaedah ini bukanlah kaedah baru (English-novel idea) tetapi hanyalah perkara biasa yang mungkin sebahagian besar daripada pembaca telah menggunakannya dalam kehidupan seharian ketika mencongak. Tetapi saya tegaskan di sini sekali lagi, saya sengaja menulisnya di sini agar sesiapa yang tidak pernah tahu akan tahu dan dengan itu dapat mengamalkan. Ini kerana buat pengetahuan anda, di UK banyak kedai runcit yang sering tersilap mengira baki lebih-lebih lagi KEDAI YANG TIADA MESIN KIRA (ini kedai paling ‘hampeh’ di UK) Nasihat ini juga saya tujukan khusus kepada pembaca yang sudah ‘tangkas mengira’ dan ‘tajam otaknya’ agar tidak memandang remeh ilmu matematik tahap rendah seperti ini. Jika anda tidak belajar ilmu serendah ini terlebih dahulu, masakan anda mampu mempelajari topologi Poincare, penukaran Fourier, persamaan pembezaan peringkat kedua dan sebagainya sekarang?

Percaya atau tidak, jika anda mengamalkan kaedah ini, anda akan terkejut jika mendapati bahawa anda begitu cepat menyesuaikan diri dengannya. Mengapa? Kerana ia adalah ‘trend’ otak manusia yang mengambil jalan pintas dalam sebarang analisis sukar. Analisis sukar di sini ialah keperluan kepada imaginasi nombor ketika melakukan pinjam nilai dan tambah hadapan dalam proses tolak dan tambah harga-harga barangan.

Lagipun, orang Melayu khususnya memang suka kepada perkara-perkara yang mudah-mudah sahaja.

Wallahua’lam.

Nov 12, 2009

Meneliti kejadian bintang.



Dalam gambar di atas, terdapat jaluran-jaluran berkilau seperti kilat yang menyentuh dinding bebola kaca. Jaluran-jaluran cahaya ini adalah plasma atau ion gas. Bayangkan jaluran-jaluran ini merupakan lembaran-lembaran benang. Kemudian kita ambil lembaran-lembaran benang ini dan gumpalkan ia menjadi satu bebola benang. Bagaimana jika jaluran-jaluran plasma tadi digumpalkan dan dimampatkan menjadi satu bebola plasma sebagaimana benang-benang tersebut? Ini ialah hasilnya:


Hasilnya ialah sebuah bintang yang bersinar.

Bagaimana bintang terbentuk?
Di satu titik pusat tarikan graviti yang kuat, plasma-plasma ditarik ke arahnya. Titik ini menarik plasma-plasma secara memusar, atau seperti taufan puting beliung, di mana titik tersebut ialah pusat taufan itu. Semakin banyak plasma yang ditarik pada titik tunggal punca graviti ini sehingga pusat tarikan menjadi tumpat dan tebal dengan zarah-zarah plasma. Berikut adalah video tentang teori pembentukan bintang.



Dalam video tersebut digambarkan bahawa bintang-bintang lain turut terbentuk apabila bebola-bebola plasma berlanggar antara satu sama lain.

Fenomena pembentukan bintang lebih kurang sama dengan fenomena Kesan Weissenberg dalam video di bawah di mana cecair yang terkumpul pada rod kaca yang sedang berputar semakin bertambah. Semakin kuat daya putaran semakin banyak jisim cecair yang menumpu ke pusat putaran.



Akibat daya tarikan yang kuat, plasma-plasma sedia ada dimampatkan ke arah titik punca graviti. Mampatan demi mampatan menyebabkan plasma-plasma ini mengambil isipadu dengan luas permukaan paling minimum iaitu sfera bagi memanfaatkan setiap ruang kosong di antara zarah-zarah plasma. Maka sebuah sfera plasma terhasil. Mampatan yang kuat menekan teras bebola plasma, menyebabkan berlakunya tindak balas nuklear di situ. Tindak balas ini membebaskan plasma baru dan tenaga serta sinaran-sinaran yang berbahaya. Plasma baru bertindak dengan plasma-plasma sedia ada di bahagian yang lebih luar,menghasilkan tindak balas nuklear berantai. Hasilnya, tenaga serta sinaran terhasil, menjadikan bebola ini senantiasa bersinar dan mengeluarkan cahaya. Bebola ini dikenali sebagai bintang.

Bintang ialah bebola plasma gergasi yang sentiasa bersinar. Bintang terdekat dengan Bumi ialah Matahari. Terdapat berbilion-bilion bintang lain selain Matahari namun ia hanya tampak jelas pada waktu malam kerana pada waktu siang cahaya Matahari yang lebih terang akan menghalang cahaya dari bintang-bintang lain. Sebahagian besar daripada jisim bintang ialah hidrogen dan helium, yang bertindak sebagai bahan api dalam tindak balas nuklear di terasnya, dan membantu proses tindak balas berantai di permukaan luar.

Tindak balas nuklear di teras bintang berterusan menghasilkan tenaga. Oleh itu, tekanan ke atas teras juga berterusan bagi membolehkan tindak balas nuklear berlaku. Tekanan demi tekanan dan pada masa yang sama, atom hidrogen yang semakin berkurangan di teras (akibat tindak balas nuklear), membuktikan bahawa bintang juga akan mati. Apabila sebuah bintang hampir sampai ajalnya, maka hidrogen yang menyebabkan tindak balas nuklear akan habis. Tekanan ke atas teras menyebabkan tindak balas lain berlaku, di mana lahar-laharnya akan memancut keluar ke permukaan. Letupan yang kuat akan terhasil dan bintang tersebut akan musnah. Letupan ini dikenali sebagai letupan supernova. Selepas letupan supernova ini, yang tinggal adalah sama ada bintang kerdil neutron (English-neutron star) atau lohong hitam. Kedua-dua ini dikenali dengan satu nama umum iaitu sisa bintang (English-stellar remnant).

Di bawah ialah carta alir kelahiran dan kematian bintang:



[bersambung di bahagian kedua]

Sekian dahulu.

Nov 3, 2009

Doom merchant.

Tahukah anda apakah ia ‘doom merchant’? Dari segi bahasa, ‘doom’ bermaksud bencana, dan ‘merchant’ bermaksud penjaja atau pedagang. Jadi secara bahasanya, ‘doom merchant’ bermaksud penjaja bencana. Golongan yang menjaja bencana ini menggunakan daya intelektual yang dimiliki untuk menipu orang lain. Mereka menggunakan ketakutan orang ramai terhadap ‘worst case scenario’ (kesan terburuk) sebagai modal mereka. Mereka ini bukanlah orang-orang yang tidak berpelajaran, namun mereka terdiri dari kalangan ahli perniagaan, saintis, penulis dan wartawan, karyawan (umpamanya pengarah filem), bahkan ahli politik.

Seperti yang diketahui zaman berzaman, manusia sangat takut kepada bencana dan segala perkara yang menyusahkan. Namun dari satu sudut, perkara abstrak seperti ketakutan dan kesusahan ini dipandang oleh satu golongan lain sebagai aset atau modal yang boleh diniagakan. Ya, ketakutan dan kesusahan boleh diniagakan! Percaya atau tidak, dengan bermodalkan ketakutan, golongan ini mampu meraih berjuta-juta dolar keuntungan.

Bagi memudahfahamkan para pembaca, saya ambil satu contoh. Katakan seorang peniaga A membeli kesemua beras yang boleh didapati dalam satu pasaran kecil perniagaan. Akibatnya, harga beras meningkat kerana kekurangan beras akibat dibeli oleh peniaga A tadi. Peniaga A sedang bercadang untuk menjual semula beras tersebut dengan harga pasaran yang sedang mencanak naik. Namun muncul seorang peniaga B yang bermodalkan beras, terlebih dahulu menjual beras sehingga harga beras turun mendadak dan peniaga B meraih untung berkali ganda.

Kini harga beras turun mendadak sehingga kurang daripada harga ketika peniaga A membelinya dahulu. Kini peniaga A berasa sangat rugi kerana lambat bertindak. Peniaga B pada ketika ini sedia maklum bahawa peniaga A berada dalam keadaan takut. Mengapa? Kerana jika peniaga B melambakkan lagi beras dalam pasaran, maka harga beras akan turun lebih rendah dan rugi peniaga A semakin teruk. BERMODALKAN KETAKUTAN PENIAGA A ini, maka peniaga B mengumumkan bahawa beliau akan melambakkan lagi beras melalui rakan-rakan kongsinya. Ya, peniaga B HANYA MENGUMUMKAN, tetapi tidak melakukan apa yang diumumkannya itu. Pendek kata, peniaga B sedang menipu. Peniaga A yang takut mengalami kerugian yang lebih teruk, berfikir begini, “ lebih baik aku jual beras aku sekarang, kerana jika aku jual selepas si B melambakkan berasnya, maka rugi aku akan bertambah”.

Maka peniaga A pun menjual semula beras-berasnya. Perbuatan peniaga A ini telah menyebabkan harga beras menjunam sehingga ke pusat bumi. Maka peniaga B pun dengan senang lenangnya membeli beras-beras tersebut dengan harga yang terlalu murah berbanding dengan harga ketika beliau menjual beras tersebut sebelum ini. Peniaga B sangat bijak kerana beliau bukanlah seorang peniaga beras. Beliau ialah seorang peniaga berita bencana atau DOOM MERCHANT. Bencana yang dimaksudkan di sini ialah kerugian peniaga A. Dalam konteks ini, peniaga B adalah ‘doom merchant’ peringkat kecil. Terdapat ‘doom merchant’ lain yang ingin saya ceritakan.

Pernahkah anda mendengar ramalan-ramalan sebegini?
-Pada tahun 1999, UFO akan turun ke Malaysia (padahal tak turun pun)
-Pada tahun 2010, telaga petroleum akan kekeringan
-Pada tahun 2020, matahari akan mati seperti selayaknya bintang-bintang yang lain.

Dan banyak lagi…(anda bolehlah cari sendiri)

Kesemua ramalan-ramalan di atas dibuat oleh para saintis. Jika anda teliti betul-betul, kesemua ramalan-ramalan tersebut mirip sebuah berita sebagaimana yang dibuat oleh peniaga B dalam perenggan terdahulu tulisan ini. Dan berita-berita ini tidak lain mempunyai tujuan yang sama; iaitu untuk mempergunakan ketakutan orang ramai bagi mencapai motif tertentu, atau mungkin berbeza; mungkin ia benar dan menuntut penduduk dunia agar berwaspada dan berjaga-jaga. Adakah anda percaya ramalan-ramalan sebegini? Terpulanglah kepada anda untuk percaya atau tidak.

Dalam kalangan saintis yang mengeluarkan ramalan-ramalan ini, terdapat antara mereka yang merupakan penjaja berita bencana. Bagi saintis yang jujur mereka akan menyatakan kebenaran. Namun bagi yang sebaliknya, yang menyatakan perkara bohong bagi memanfaatkan ketakutan orang ramai, mereka inilah ‘doom merchant’ yang dimaksudkan. Dalam kalangan saintis ‘doom merchant’ ini, ada yang menerima rasuah dari ahli politik, dan ada yang memiliki kepentingan peribadi. Sebagai contoh, berita mengenai petroleum akan kehabisan mungkin dikeluarkan oleh ‘doom merchant’ yang dirasuah oleh ahli politik sebuah negara maju, dengan motif agar negara-negara yang ‘cuak’ menahan minyak mereka daripada dijual dan dengan itu menyebabkan harga minyak naik dan seterusnya menguntungkan negara maju tersebut yang merupakan pengeluar minyak utama.

Dari satu sudut, dapat dilihat bahawa orang-orang yang ‘rambang mata’ dengan jajaan ‘doom merchant’ ini tidak lain hanya takut kepada ramalan tersebut sahaja. Tidak ada ketakutan lain yang lebih besar berbanding ketakutan yang sedang mereka alami. Ini kerana dunia ini adalah segala-galanya bagi mereka. Padahal, mungkin mereka akan mati sebelum ramalan itu berlaku jika ajal telah sampai.

‘Doom merchant’ tidak lain hanyalah penyebar fitnah yang mencari keuntungan di sebalik berita yang disebarkan. Meskipun ada baiknya di sebalik ramalan-ramalan ngeri yang dinyatakan, misalnya dengan ramalan pemanasan global dan ramalan bumi akan banjir kerana kutub mencair, maka orang ramai akan berusaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida dari kenderaan, kilang, pembakaran sampah dan sebagainya, namun dari satu aspek lain, ia menyusahkan orang ramai seperti kenaikan harga minyak yang membebankan dan sebagainya. Selain itu, langkah-langkah yang disarankan kepada orang ramai untuk diambil tampak tidak realistik dan jelas menunjukkan motif sebenar si pengeluar berita. Misalnya , antara langkah-langkah yang diambil seperti mengitar semula sehelai kertas A4 dapat mengurangkan paras karbon dioksida dalam atmosfera sebanyak 2gram setahun (contohnya), adalah tidak realistik kerana semua hidupan di dunia juga mengeluarkan gas tersebut. Padahal motif sebenarnya hanyalah untuk menguntungkan kilang-kilang kitar semula. Banyak lagi saranan-saranan bertopengkan promosi barangan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat perniagaan demi menguntungkan perniagaan mereka. Mungkin ada benarnya seloroh yang mengatakan:
“Jika anda bijak berbohong, maka jadilah seorang ahli perniagaan”

Jadi hanya ada satu sahaja cara bagaimana untuk melepaskan diri daripada godaan ‘doom merchant’ ini, iaitu dengan menjadi seorang yang berani dan memfokuskan ketakutan anda bukan kepada makhluk .

Akhirkata, saya ada satu ungkapan rekaan sendiri:
“Hanya orang Islam yang beriman sahaja dapat melepaskan diri daripada penipuan ‘doom merchant’”

Mengapa? Fikirkan sendiri.

Wallahualam.

Rencana saya yang terdahulu ada memaparkan situasi ‘worst case scenario’ yang diramalkan oleh ‘doom merchant’. Klik sini untuk baca.